FEBRUARI 2026

MAJLIS MEMASAK BUBUR PEDAS SARAWAK DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN IKHLAS MAKSAK CARES DI KUALA LUMPUR


KUALA LUMPUR, 28 Februari 2026 – Puan Dayang Norjihan binti Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari telah menghadiri Majlis Memasak Bubur Pedas Sarawak (BoPedas) serta Penyampaian Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan, keprihatinan dan semangat kebersamaan.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi. 

Majlis yang bermula pada jam 10.00 pagi itu telah diketuai oleh Toh Puan selaku Penaung MAKSAK Wanita Sarawak. Beliau memulakan acara memasak Bubur Pedas Sarawak sebagai simbol pemeliharaan warisan serta wadah mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga yang hadir.

Sepanjang proses penyediaan juadah tradisional tersebut, beliau diiringi oleh Puan Dayang Norjihan dalam suasana yang harmoni dan penuh muhibah.

Sejurus selesai acara memasak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah telah menyempurnakan penyampaian Sumbangan Ikhlas daripada MAKSAK Cares berupa wang tunai serta Bubur Pedas kepada 30 orang penerima yang terdiri daripada kakitangan Yayasan Sarawak dan Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL). 

Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyantuni kebajikan warga kerja di samping menyemai nilai kasih sayang dan solidariti. 

Sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan yang diberikan, MAKSAK Cares dan PPSKL turut menyampaikan cenderamata kepada Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Puan Dayang Norjihan.

Penyampaian cenderamata tersebut melambangkan tanda penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus atas komitmen, sokongan serta dedikasi berterusan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan Puan Dayang Norjihan dalam menjayakan pelbagai program kebajikan dan inisiatif kemasyarakatan, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama dan keprihatinan sosial dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi berkumpulan bersama para penerima sebagai tanda penghargaan dan kenangan bermakna atas kebersamaan yang terjalin.